Wednesday 26 September 2012

contoh refleksi


KEKUATAN
          Tugasan Pentaksiran Reka Bentuk dan Teknologi ini telah memberikan saya seribu satu ilmu pengetahuan baru semasa saya menyiapkan tugasan ini. Dalam tugasan ini, saya telah mendapat kekuatan yang saya perlu miliki sebagai seorang insan yang bakal bergelar seorang guru yang akan membentuk manusia bagi mengurus dan mentadbir negara Malaysia pada masa hadapan. Oleh itu, dapat saya terjemahkan bahawa ilmu yang saya perolehi adalah sangat bermanfaat iaitu saya mengetahui untuk mengaplikasikan kaedah menilai dan mentaksir pengetahuan bagi mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi ini. Selain itu, saya juga belajar bagaimana untuk membina jadual Spesifikasi Ujian (JSU) bagi membina item ujian peperiksaan bagi subjek ini. Secara jujurnya, ilmu pengetahuan yang paling bermakna bagi saya ialah saya dapat merasai peluang mengendalikan ujian ke atas murid sekolah bertujuan mendapatkan skor/respondan memilih item soalan yang berkualiti. Tambahan pula, saya belajar bagaimana untuk melaksanakan proses pemarkahan dan melaksanakan pentafsiran dan analisis markah yang diperolehi dari ujian yang ditadbirkan sepanjang menulis laporan lengkap tugasan ini.
        Secara umumnya dapat saya simpulkan berdasarkan ilmu pengetahuan baru yang saya perolehi sepanjang melaksanakan tugasan ini ialah pentaksiran dan penilaian amatlah penting kerana membantu mengesan perkembangan seseorang murid itu dan mengenal pasti pelbagai potensi murid secara menyeluruh. Selain itu ia juga sebagai alat untuk mengesan kelebihan dan kelemahan murid dalam pembelajaran dari semasa ke semasa. Ia juga dapat membantu guru dalam mengenal pasti keberkesanan sesuatu pengajaran.  Selain itu, guru juga dapat menggunakan pentaksiran dan penilaian sebagai medium untuk merangsang aktiviti mengikut keperluan dan pertumbuhan murid serta mengesan pertumbuhan murid bersesuaian dengan peringkat umur mereka.
           Pentaksiran dan penilaian juga penting bagi menyediakan program atau aktiviti yang selanjutnya yang sesuai diberikan kepada murid yang lemah dalam subjek Kemahiran Hidup ini khasnya dan umumnya subjek lain juga. Aktiviti tersebut adalah sama ada aktiviti pemulihan untuk murid yang lemah, aktiviti pengukuhan untuk yang menguasai dan aktiviti pengayaan bagi mereka yang sudah mahir. Ketiga-tiga tahap ini mempunyai tahap kesukaran yang berbeza-beza mengikut tahap murid. Penilaian dan pentaksiran juga berperanan untuk menjadi asas membuat laporan kepada ibu bapa. Melalui pentaksiran dan penilaian ini juga murid dapat menilai diri mereka sendiri. Dengan ini mereka akan berusaha memajukan diri melalui aktiviti yang disediakan.
            Melalui hasil dapatan pentaksiran yang saya lakukan bersama rakan seperjuangan saya, ilmu yang saya perolehi mengenai pentaksiran dan penilaian adalah penting bagi menyajikan maklumat kepada pendidik tentang keberkesanan pendekatan, strategi, atau teknik pengajaran yang digunakan. Justeru ia akan memberi suntikan kepada proses pencarian kaedah mengajar yang lebih efisien.  Bagi seorang pelajar pula, hasil pentaksiran merupakan satu indikator atau penunjuk kepada apa yang telah mereka pelajari, apa yang masih perlu dipelajari dan bagaimana cara terbaik untuk mempelajarinya.Di samping itu juga, bagi pihak ibu bapa ianya memberi panduan tentang bagaimana cara yang terbaik untuk memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka. Dari kaca mata seorang pendidik, pentaksiran merupakan satu proses di mana pendidik mengumpul bukti, membuat inferens, membuat kesimpulan, dan bertindak berdasarkan kesimpulan yang dibuat.
          Secara keseluruhannya pentaksiran dan penilaian bertujuan untuk mengenalpasti kecerdasan dan potensi murid bagi memperkukuh dan mempertingkatkan lagi kebolehan dan perkembangan mereka. Hasil pentaksiran dan penilaian membolehkan guru mengambil tindakan susulan yang berkesan dan seterusnya membantu guru mengembangkan potensi murid ke tahap optimum dalam domain kognitif, afektif dan psikomotor. Tugasan ini adalah persediaan dan pendedahan kepada saya melaksanakan penilaian kepada murid sekolah. Penilaian dan pentaksiran adalah satu perkara yang penting yang harus dibuat dalam pendidikan di sekolah.

KELEMAHAN
            Taktala ilmu pengetahuan baru yang telah saya perolehi sepanjang proses menyiapkan tugasan ini, namun tidak dinafikan bahawa keperitan dan kepahitan juga adalah amat dirasai untuk menyiapkan tugasan untuk mendapatkan ilmu baru tersebut. Hal ini adalah disebabkan saya tidak mempunyai ilmu pengetahuan sedia ada bagaimana untuk melakukan membina Jadual Spesifikasi Ujian dan membina soalan-soalan berdasarkan JSU. Tambahan pula, amatlah susah bagi saya bagi seorang guru pelatih untuk mengendalikan ujian ke atas murid kerana saya tidak dilengkapi kemahiran-kemahiran untuk mengendalikan tugasan mengendalikan ujian ini. Sejajar dengan itu, semasa proses pentafsiran dan analisis markah yang diperolehi dari ujian juga adalah amat susah bagi diri saya. Justeru, segala kelemahan saya dalam tugasan ini amatlah saya akui kerana saya tidak dapat melaksanakan dengan sempurna.
             Selain itu saya ada masalah memahami antara penilaian dan pentaksiran. Kedua-dua istilah ini seperti sama tetapi tidak serupa Selain daripada itu, dalam proses pertama iaitu merancang, beberapa perkara penting saya telah mengambil ringan dimana sepanjang proses penilaian dan pentaksiran yang hendak dibuat perlulah dirancang dengan teliti terlebih dahulu supaya berjalan dengan lancar dan sistematik. Namun saya tidak mengambil berat terhadap aspek tersebut dan menyebabkan tugasan ini dilaksanakan secara tidak teratur dan tidak sistematik. Selain itu, dalam proses merancang juga pembinaan instrumen tidak dititikberatkan. Instrumen yang dibina seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti tujuan yang jelas, menepati apa yang hendak dinilai, item yang boleh diukur dan perlu diingatkan bahawa setiap item hanya boleh mengukur setiap satu kemahiran sahaja.
           Segala kelemahan dan kekurangan saya dalam tugasan ini akan saya ambil pengajaran dan akan memperbaiki diri saya sepanjang saya bergelar guru pelatih sebelum bergelar seorang guru di sekolah pada masa hadapan. InsyaAllah.


LANGKAH MENGATASI
           Setelah membaca banyak bahan daripada buku dan internet dan perbincangan bersama rakan-rakan mengenai masalah definisi penilaian dan pentaksiran, saya telah sebulat suara mengatakan ianya adalah sama. Di sinilah saya dapat bekerjasama dengan rakan-rakan. Saya dapat membina keyakinan saya dalam memberikan pendapat hasil daripada kajian sendiri serta menerima pendapat rakan-rakan. Di sinilah antara satu pembelajaran berlaku secara tidak langsung. Perbincangan juga telah dilakukan bersama guru pembimbing di sekolah.
            Perjalanan saya membuat tugasan ini sememangnya diakui kurang lancar dan sempurna. Oleh itu, saya berasa risau dengan kerja-kerja penilaian yang akan dilakukan apabila saya menjadi guru sekolah yang sebenar. Saya membayangkan betapa banyaknya penilaian yang harus dilakukan ke atas murid. Jadi,saya rasa tugasan ini adalah satu persediaan dan panduan untuk membuat penilaian pada masa akan datang. Jadi saya rasa tugasan ini sangat membantu. Saya juga berpendapat bahawa penilaian dan penaksiran tidak boleh diambil mudah oleh saya yang bakal bergelar guru. Justeru, saya tidak berputus asa untuk menyiapkan tugasan ini walaupun terpaksa bersengkang mata demi mendapatkan ilmu pengetahuan untuk menjadi seorang guru.
            Masa yang diperuntukkan untuk menyiapkan tugasan ini dirasakan sangat singkat. Dalam menyiapkan tugasan lain juga,. saya bertungkus-lumus menyiapkan kerja ini juga. Melalui tugasan ini, saya berharap segala kelemahan saya dalam menyiapkan tugasan ini akan dapat saya perbaiki dari semasa ke semasa. Secara jujurnya, saya sudah buat yang terbaik untuk tugasan ini. Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa segala kelemahan dan kekurangan saya dalam tugasan ini akan saya ambil pengajaran dan akan memperbaiki diri saya sepanjang saya bergelar guru pelatih sebelum bergelar seorang guru di sekolah pada masa hadapan. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment