Wednesday 26 September 2012

PENDIDIKAN TEKNIK DAN VOKASIONAL UNTUK PELAJAR BERKEPERLUAN KHAS


Pendidikan adalah hak asasi semua manusia dan dari segi falsafahnya, semua insan di dunia ini mempunyai hak untuk belajar dan mengetahui sesuatu. Apabila berbicara tentang peluang pendidikan terhadap pelajar berkeperluan khas, mereka juga mempunyai minat, hasrat dan cita-cita yang setanding dengan individu normal. Mereka juga perlu diberikan peluang yang sama dengan individu normal yang lain supaya mereka tidak tersisih daripada arus pembelajaran nasional kerana ada dalam kalangan mereka mempunyai kecerdasan kognitif yang setanding dengan individu yang sempurna malah mereka mampu melebihi pencapaian pelajar yang normal (Adam, 2003; Ali, 2007; Lokman, 2007). Dalam usaha untuk mempertingkatkan kemampuan pelajar berkeperluan khas, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Khas telah merangka dan menyediakan perkhidmatan  pendidikan untuk pelajar berkeperluan khas yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan bermasalah pembelajaran. Antara kategori pelajar berkeperluan khas yang dianggap dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan baik ialah Sindrom Down, autisme ringan, Attention Deficit Hyperactive Disorder, terencat akal minimum dan masalah pembelajaran spesifik (Siti Mapsiah & Nor Azizah, 1995). Dalam usaha mendidik dan meningkatkan keupayaan pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar khas, silibus yang digubal tidak perlu berbeza dengan pelajar normal iaitu penekanan kepada perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara (Mohd Dan, 2007). Namun begitu, kaedah yang digunakan dalam mendidik pelajar khas ini sememangnya berbeza dengan pelajar normal. Mereka perlu diberikan  lebih keutamaan dari aspek penyediaan dan latihan guru, silibus mahupun kelengkapan yang disediakan di institusi pendidikan.  Dalam usaha mempertingkatkan peluang pekerjaan kepada pelajar berkeperluan khas, mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyeru pihak majikan supaya membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada mereka supaya mereka boleh  berdikari dan terlibat sama dalam pembangunan ekonomi. Untuk merealisasikan hasrat dan misi nasional, kini pihak kerajaan sedang berusaha gigih  dalam mempertingkatkan kualiti latihan kemahiran untuk golongan berkeperluan khas di Malaysia supaya mampu bersaing dengan pasaran pekerjaan. Kemahiran-kemahiran yang diberikan perlu bersesuaian dengan kemajuan negara yang kini makin membangun untuk mendapatkan peluang pekerjaan yang diingini (Ku Seman, 2007).

Kajian ini telah disasarkan kepada golongan pelajar berkeperluan khas kerana sejak kebelakangan ini masalah berkaitan pendidikan pelajar berkeperluan khas sering dibincangkan khususnya dalam aspek  pembangunan modal  insan (Saifulizam, 2007). Pemilihan responden dalam kalangan tenaga pengajar/pensyarah pendidikan tinggi teknikal bagi pelajar berkeperluan khas adalah berdasarkan tugas yang peranan yang dimainkan mereka ke arah pembentukan sumber tenaga negara yang bermutu dengan penyaluran ilmu-ilmu yang berguna kepada mereka terutamanya dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional. Keputusan keseluruhan daripada hasil penganalisisan data menunjukkan faktor penerimaan institut pendidikan tinggi teknikal dan vokasional dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah berada pada tahap yang tertinggi. Hal ini turut dibuktikan melalui asas kemahiran yang diperolehi oleh tenaga pengajar. Sumber dapatan kajian ini jelas menunjukkan bahawa pensyarah mempunyai kemahiran yang tidak mampu disangkal kerana kebolehan serta keupayaan yang mantap dalam mendidik pelajar-pelajar berkeperluan khas dengan baik dan berkesan.  Dalam usaha mencari kecemerlangan  pengajaran dan pembelajaran untuk golongan pelajar berkeperluan khas, faktor yang mendorong perkembangan pencapaian pelajar berkeperluan khas dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah faktor penerimaan institut pendidikan itu sendiri terhadap golongan tersebut. Hasil kajian mendapati bahawa kemampuan politeknik yang terbabit menyediakan tenaga pengajar yang berkemahiran dalam kursus pendidikan khas adalah berada pada tahap yang tinggi. Hal ini menunjukkan bahawa institusi yang terbabit seperti politeknik di Malaysia mampu untuk menyediakan keperluan asas pembelajaran terhadap golongan pelajar berkeperluan khas tanpa mendiskriminasikan hak mereka sebagai  seorang pelajar. Dalam situasi ini, pengambilan para pelajar berkeperluan  khas jelas tidak menampakkan sebagai bebanan kepada pensyarah-pensyarah di politeknik. Hal ini sejajar dengan matlamat Rancangan Sedunia Bangsa-Bangsa Bersatu untuk pelajar berkeperluan khas  (United Nations Global Programme on Disability)  dalam artikel yang bertajuk ''Dasar dan Pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan'' oleh Hasnan dan Syed Othman (2001), yang menyarankan supaya golongan itu diberi peluang dan galakan untuk membangun diri dan menyertai masyarakat secara berkesan. 
Saranan ini adalah selari dengan dapatan kajian ini yang menunjukkan bahawa pengambilan pelajar berkeperluan khas untuk mengikuti pengajian di politeknik adalah tidak terhad malah faktor ketidakmampuan pelajar ini tidak boleh dijadikan faktor yang membawa kepada kesukaran mereka untuk cemerlang dalam bidang akademik dan kemahiran.  Titik permulaan yang menarik kecenderungan pelajar untuk menimba ilmu adalah dengan adanya teknik pengajaran dan pembelajaran yang menarik daripada tenaga pengajar. Faktor kemahiran tenaga pengajar adalah penting kepada golongan pelajar berkeperluan khas kerana tenaga pengajar yang mahir mampu membimbing golongan ini mempelajari bidang teknikal malah menjadikan kemampuan akademik dan kemahiran mereka seiring dengan rakan mereka yang normal. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa pensyarahpensyarah amat berminat terhadap bidang-bidang pendidikan khas ini. Perolehan melalui kajian juga mendapati bahawa pensyarah dapat  menentukan jenis kesulitan serta permasalahan yang pelajar hadapi ketika proses pembelajaran dilaksanakan. Dapatan ini secara tidak langsung membawa konotasi bahawa pensyarah yang ditugaskan mengajar dan  mendidik pelajar berkeperluan khas telah berjaya mengadaptasikan proses  pembelajaran yang bercorak teknikal dengan kemampuan pelajar yang dibimbing.  Namun demikian, pihak politeknik perlu menambahkan bilangan tenaga  pengajar yang berupaya mendidik dan membimbing pelajar berkeperluan khas memandangkan kebanyakan daripada pensyarah yang ditugaskan mendidik golongan ini telah adalah berumur di antara 31 hingga 40 tahun. Ini kerana pensyarah yang ditugaskan sebenarnya memerlukan latihan khas sebelum melayakkan mereka untuk mengajar golongan berkenaan. Jadi, golongan pelapis bagi menggantikan golongan pensyarah khas ini perlu dikenal pasti secepat mungkin.  Selain itu, hasil kajian juga mendapati pensyarah juga secara langsung banyak  membantu serta mempengaruhi minat pelajar berkeperluan khas serta membantu mereka mengatasi sikap negatif dalam usaha memupuk keyakinan yang tinggi kepada pelajar berkeperluan khas untuk berjaya dalam bidang teknik dan vokasional. Dengan pengetahuan meluas di kalangan pensyarah ketika membimbing pelajar, kesungguhan pelajar berkeperluan khas dalam pembelajaran serta prestasi pencapaian mereka dapat diserlahkan lagi. Suasana pembelajaran  yang dicetuskan oleh para pensyarah seolah-olah satu proses transformasi ilmu yang berkesan kepada golongan pelajar berkeperluan khas.  Sehubungan dengan kemampuan tinggi yang dimiliki oleh pensyarah politeknik untuk membimbing pelajar tersebut, perancangan silibus yang bersesuaian dengan tahap kebolehan pelajar perlu turut dikenal pasti oleh pihak penggubal kurikulum mahupun pihak pentadbiran politeknik dalam usaha menggiatkan dan memajukan aktiviti pembelajaran pelajar berkeperluan khas. Proses mengenal pasti ini amat penting kerana ia secara tidak langsung akan memudahkan tugas pensyarah semasa sesi pengajaran kerana mereka mempunyai panduan yang teratur dan lengkap dalam membimbing  para pelajar berkeperluan khas. Kesannya nanti, satu suasana pengajaran serta pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar berkeperluan khas akan mampu dihasilkan daripada adunan kompetensi pensyarah dengan kurikulum yang direka bentuk khusus untuk pelajar berkeperluan khas. Selain itu juga, pensyarah yang ditugaskan dijangka dapat menguruskan masa yang lebih efisyen dan dapat mempelbagaikan kaedah pengajarannya agar pencapaian dan prestasi pelajar berkeperluan khas ini seiring dengan rakan mereka yang normal. Merujuk pula kepada hasil kajian ini, adalahdisarankan agar modul pengajaran pelajar berkeperluan khas dibina hasil maklum balas sebahagian pensyarah yang menyatakan bahawa silibus khas perlu disediakan oleh Jabatan Pendidikan Khas untuk pelajar berkeperluan khas ini bersama-sama dengan Jabatan Pendidikan Teknikal di bawah tadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia supaya kesesuaian latihan, kemahiran dan tahap pencapaian dan kemampuan pelajar tersebut dapat dikenal pasti terlebih dahulu sebelum bermulanya proses pengajaran dan pembelajaran. Fungsi utama silibus adalah untuk memudahkan lagi proses  pengajaran dan pembelajaran golongan pelajar berkeperluan khas supaya  mereka mempunyai pencapaian mahupun keupayaan akademik yang sama dengan pelajar normal yang lain.  Dalam proses pengajaran dan pembelajaran, prasarana yang terdapat di politeknik mahupun institusi pengajian tinggi teknikal yang menawarkan program pengajian berbentuk teknikal kepada  pelajar berkeperluan khas  juga memainkan peranan penting dalam menentukan pencapaian akademik golongan pelajar berkeperluan khas ini. Hasil dapatan  kajian menunjukkan bahawa kemudahan daripada segi prasarana politeknik untuk pelajar berkeperluan khas ini sememang lengkap serta dapat membantu proses pembelajaran pelajar berkeperluan khas namun pensyarah politeknik yang menjadi sampel kajian memberikan maklum balas melalui item dalam instrumen bahawa masih juga terdapat beberapa kemudahan pembelajaran dan fizikal untuk pelajar berkeperluan khas ini yang boleh dipertingkatkan serta diperbaiki lagi seperti bahan-bahan serta peralatan pembelajaran, bahan rujukan dan alat bantu mengajar. Di samping itu, mereka turut menyarankan agar pihak pentadbiran politeknik memberi penekanan secara menyeluruh terhadap prasarana untuk pelajar berkeperluan khas supaya pelajar ini dapat menyempurnakan pengajian mereka sama seperti rakan mereka yang normal. Ini kerana proses pembelajaran dan pengajaran golongan pelajar pelajar berkeperluan khas amat memerlukan  proses pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan dari aspek kemudahan termasuk peralatan dan kelengkapan khas yang sangat penting bagi memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bagi golongan berkeperluan khas. 

Berdasarkan hasil kajian, beberapa implikasi dan cadangan dikemukakan oleh penyelidik bagi memantapkan lagi  pengajaran dan pembelajaran pelajar berkeperluan khas dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional. Diharapkan implikasi kajian ini dapat dijadikan garis panduan oleh pihak yang berkenaan untuk menilai kembali keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dalam program pendidikan khas untuk golongan pelajar berkeperluan khas di politeknik atau digunakan untuk tujuan mempertingkatkan kurikulum khasnya untuk pembelajaran pelajar berkeperluan  khas yang menuntut di politeknik. Sikap keterbukaan yang telah ada dalam diri pensyarah dalam usaha membimbing pelajar perlu diteruskan bagi membina dan memupuk kesedaran dalam diri pelajar berkeperluan khas untuk terus maju. Selain itu, para pensyarah juga harus meneruskan komitmen yang tinggi dalam usaha mendidik pelajar di politeknik kerana golongan pelajar ini amat  memerlukan bantuan serta mengharapkan bantuan daripada golongan pensyarah. Pihak yang terlibat khususnya KPM serta pihak pentadbiran politeknik perlu memastikan serta mempelbagaikan bahan bantuan mengajar agar mencukupi dan bersesuaian dengan proses pengajaran dan pembelajaran pelajar berkeperluan khas. 
Sehubungan dengan itu, Bahagian Pendidikan Khas bersama dengan Jabatan Pendidikan Teknikal perlu mengemaskini  sukatan pelajaran pada masa akan datang supaya dapat disesuaikan dengan perkembangan pendidikan masa kini dan mengikut tahap keupayaan khususnya untuk pelajar berkeperluan khas. Di samping itu, pihak Fakulti Pendidikan di  universiti  tempatan  juga disarankan agar menawarkan mata pelajaran kod bahasa tangan kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus pendidikan teknikal untuk tujuan pembelajaran selepas mereka yang bergraduasi kelak agar mereka dapat menyumbang dan mampu mengajar pelajar daripada golongan pelajar berkeperluan khas yang kini mula berminat dalam bidang pendidikan teknik dan vokasional.   

No comments:

Post a Comment